10 TIPS Untuk Didik Anak Menjadi SOLEH
Anak yang soleh bukan sahaja anak yang bersopan-santun dan taat kepada
ibu-bapa sebagaimana yang disangka oleh kebanyakan kita, tetapi yang
lebih utama dari itu ialah anak yang menjaga agamanya. Anak yang soleh
ialah anak yang ta’at kepada Allah, yang tahu kewajipannya sebagai hamba
Allah dan tahu tanggungjawabnya kepada agamanya. Apabila seorang anak
dididik dengan taat kepada Allah dan patuh kepada suruhan agama,
Insya’Allah anak itu secara otomatik akan taat kepada ibu-bapanya dan
akan menjaga akhlaknya di mana-mana sahaja ia berada.
Berikut adalah perkara-perkara yang mesti kita lakukan untuk melahirkan anak-anak yang soleh;
1. Didiklah anak-anak kita mengenali Allah
Kita selalu mendengar ungkapan dari para ulama’ yang menyebutkan;
“Asas agama ialah mengenal Allah”.
Perkara pertama yang wajib kita ajarkan kepada anak-anak kita ialah
kalimah Syahadah. Mengajar kalimah Syahadah bukan hanya mengajar menutur
atau mengucapkannya sahaja sebagaimana yang dilakukan oleh kebanyakan
orang hari ini, tetapi juga mengajar apa pengertian kalimah tersebut?,
apa yang tuntut olehnya? dan apa perkara-perkara yang bertentangan
dengan kalimah tersebut yang mesti dijauhi dari melakukannya?.
Kita perlu memberitahu anak-anak kita –dari semasa ke semasa- bahawa
dengan mengucapkan kalimah tersebut mereka telah mengisytiharkan diri
mereka beriman kepada Allah. Oleh demikian, mereka wajib mentaati Allah
pada setiap ketika dan dalam setiap gerak-geri serta tingkah-laku
mereka. Pada masa yang sama, mereka wajib menolak segala yang
bertentangan dengan kehendak Allah sama ada yang berupa agama (yang lain
dari Islam), fahaman, ideologi, budaya, gaya hidup, tingkah-laku,
peraturan, undang-undang dan sebagainya. Inilah tuntutan kalimah
Syahadah yang dapat kita fahami dari firman Allah:
“Dan sesiapa mengingkari taghut dan beriman kepada Allah, maka
sesungguhnya ia berpegang dengan simpulan yang teguh, yang tidak akan
putus selama-lamanya. Dan Allah maha mendengar lagi maha mengetahui”.
(al-Baqarah: 256)
Menurut Imam Sa’id bin Jubair dan Imam ad-Dhahhak; yang dimaksudkan
dengan ‘simpulan yang teguh’ dalam ayat di atas ialah kalimah
'Lailahaillallah' Adapun thagut, maknanya ialah ‘segala yang menyesatkan
manusia’ sama ada Iblis, Syaitan dan sebagainya.
2. Pastikan anak-anak kita sentiasa mendirikan solat dan menjaga ibadah-ibadah wajib yang lain
Rasulullah s.a.w. sendiri telah berpesan kepada kita supaya mengambil
berat perihal solat anak-anak kita, di mana baginda bersabda;
“Suruhlah anak kamu mengerjakan solat apabila ia telah berumur tujuh
tahun dan pukullah mereka jika enggan mengerjakan solat sedangkan mereka
telah berumur sepuluh tahun”. (Riwayat Imam Ahmad, Abu Daud dan
al-Hakim dari Abdullah bin Amru r.a.)
Solat adalah tiang agama. Menunaikan solat beerti menegakkan agama dan
meninggalkannya beerti mengabaikan agama. Dalam pendidikan, solat
mempunyai rahsia didikan yang amat hebat kepada anak-anak kita. Di
samping mendidik anak-anak kita agar sentiasa ingat kepada Allah, solat
menjadi benteng kepada mereka dari keruntuhan ahklak dan gejala social.
Ini melihat kepada kekuatan yang ada pada solat dalam mencegah manusia
dari melakukan dosa dan munkar sebagaimana yang ditegaskan oleh Allah
sendiri;
“Sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan munkar”. (al-Ankabut: 45)
Adalah mustahil jika kita hendak mengekori anak-anak kita ke mana saja
mereka pergi untuk memastikan mereka berbuat baik di mana-mana sahaja
mereka berada. Namun jika kita berjaya mendidik anak kita dengan solat
sehingga solat itu melekat dalam jiwa mereka, yakinlah bahawa sekalipun
tanpa kehadiran kita, mereka akan tetap istiqamah dengan kebaikan kerana
solat akan membenteng mereka dari melakukan kejahatan dan maksiat.
Selain dari solat, kita juga wajib mengasuh mereka menjaga ibadah-ibadah
wajib yang lain seperti puasa, zakat, haji dan sebagainya.
3. Bekalkan ilmu agama yang secukupnya kepada anak-anak kita
Menuntut ilmu agama diwajibkan oleh Allah ke atas setiap orang Islam sama ada lelaki atau perempuan. Sabda Rasulullah s.a.w:
“Menuntut ilmu (agama) adalah fardhu ke atas setiap orang Islam”.
(Riwayat Imam al-Baihaqi dan at-Thabrani dari Anas r.a. dan al-Hasan bin
Ali r.a.)
Bagi anak-anak, tanggungjawab mengajar ilmu agama kepada mereka asalnya
adalah kewajipan ibu-bapa. Namun jika ibu-bapa tidak mampu mengajar
sendiri anak-anak mereka, mereka wajib mencari seorang guru/ustaz yang
dapat mengajar anak-anak mereka segala hal yang wajib diketahui tentang
agama merangkumi;
a) Ilmu aqidah
b) Ilmu Ibadah
c) Ilmu halal dan haram (dalam makanan, percakapan, tindakan, pergaulan dan sebagainya)
d) Ilmu tentang hati dan rohani
e) Ilmu tentang kewajipan sebagai seorang muslim
f) Ilmu untuk membaca al-Quran
g) Ilmu tentang adab-adab sebagai seorang muslim
Kita melihat hari ini ramai ibu-bapa mengabaikan pengajian ilmu agama
kepada anak-anak mereka. Mereka lebih menekankan ilmu-ilmu duniawi
seperti sains, matematik dan sebagainya. Mereka sanggup menghabiskan
wang yang banyak bagi memastikan anak-anak mereka lulus dengan cemerlang
dalam ilmu-ilmu tersebut. Namun ilmu agama mereka abaikan. Mereka tidak
pernah risau anak-anak mereka jahil tentang agama asalkan pandai
ilmu-ilmu lainnya. Kerana itu tidak hairanlah jika kita dapati hari ini
ramai anak-anak orang Islam yang semakin liar dari agama; meninggalkan
solat, tidak tahu membaca al-Quran, tidak menutup aurat dan mudah
terjebak dengan maksiat dan munkar. Semua gejala ini puncanya tidak lain
dari pengabaian terhadap didikan agama oleh ibu-bapa.
4. Hidupkan dalam rumah kita Biah Islamiyyah (suasana keislaman)
Anak-anak memerlukan qudwah (yakni contoh/tauladan) untuk menjadi
anak-anak yang soleh. Qudwah ini seharusnya bermula dari ibu-bapa dan
juga suasana di rumah. Biah atau suasana di rumah mempunyai peranan yang
besar dalam membentuk anak-anak. Oleh demikian, suasana keislaman di
dalam rumah hendaklah dihidupkan. Pada masa yang sama, elakkanlah
sebarang bentuk maksiat dan munkar dari rumah kita. Selain itu,
menghidupkan sunah Nabi di dalam rumah juga memberi kesan besar dalam
mewujudkan biah/suasasa keislaman di dalam rumah. Antara sunnah Nabi
s.a.w. yang perlu kita praktikkan di rumah ialah;
a) Membaca al-Quran di rumah
Seboleh-bolehnya, ibu-bapa hendaklah menunjukkan minat mereka terhadap
al-Quran dengan selalu membacanya di rumah di hadapan anak-anak mereka.
Dalam satu hadis, Rasulullah mengibaratkan rumah yang tidak dibacakan
al-Quran di dalamnya umpama kubur-kubur. Abu Hurairah r.a. meriwayatkan
bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda;
“Jangan kamu jadikan rumah-rumah kamu sebagai kubur. Sesungguhnya
syaitan melarikan diri dari rumah yang dibacakan di dalamnya surah
al-Baqarah”. (Riwayat Imam Muslim)
Bagi ibu-bapa yang tidak berkesempatan membaca al-Quran di rumah atau
tidak berkemampuan membacanya, maka sebagai alternatif lain untuk
menghidupkan suasana al-Quran di rumah ialah dengan memutarkan
kaset-kaset atau cd-cd al-Quran di dalam rumah pada setiap hari
terutamanya di waktu pagi dan pada masa anak-anak berhimpun di rumah.
b) Mengerjakan solat-solat sunat di rumah
Sabda Rasulullah s.a.w.;
“Kerjakanlah solat –wahai manusia- di rumah-rumah kamu. Sesungguhnya
solat yang paling afdhal ialah seseorang mengerjakan solat di rumahnya
kecuali solat yang fardhu”. (Riwayat Bukhari dan Muslim dari Zaid bin
Thabit r.a.)
Dalam hadis yang lain Rasulullah s.a.w. bersabda; “Kerjakanlah
sebahagian solat kamu dirumah kamu. Janganlah kamu jadikan rumah-rumah
kamu ibarat kubur”. (Riwayat Imam Muslim dari Jabir r.a.)
Antara solat sunat yang digalakkan untuk dikerjakan di rumah ialah solat
dhuha, solat tahajjud, solat hajat, solat taubat, solat tasbih, solat
witir, solat sunat yang mengiringi solat fardhu dan sebagainya. Ibu-bapa
yang selalu mengerjakan solat-solat sunat di rumah akan memberi qudwah
kepada anak-anak dalam menanamkan sikap suka beribadah dan meningkatkan
kesedaran rohani mereka.
Lebih baik lagi jika anak-anak turut diajak bersama-sama mengerjakan
ibadah-ibadah tersebut. Adalah harus –sebagai latihan- pada
selang-selang waktu tertentu solat-solat sunat tersebut (khususnya solat
malam atau qiyamullail) dilakukan secara berjamaah bersama ahli
keluarga dengan diimankan sendiri oleh bapa sebagai ketua keluarga.
Sabda Rasulullah s.a.w.:
“Jika seorang lelaki mengejutkan ahli keluarganya pada waktu malam, lalu
mereka mengerjakan solat dua rakaat bersama-sama, nescaya mereka berdua
akan ditulis/disenaraikan di kalangan lelaki-lelaki yang banyak
berzikir dan perempuan-perempuan yang banyak berzikir”. (Riwayat Imam
Abu Daud dari Abi Said r.a.)
Dalam hadis yang lain, Rasulullah s.a.w. bersabda; “Allah mengasihi
seorang lelaki yang bangun menunaikan solat malam, kemudian ia
mengejutkan isterinya…Begitu juga, Allah mengasihi seorang perempuan
yang bangun menunaikan solat malam, kemudian ia mengejutkan suaminya…”.
(Riwayat Abu Daud dari Abu Hurairah r.a.)
c) Hidupkan budaya memberi salam
Anas r.a. menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda kepadanya;
“Wahai anakku! Jika kamu masuk menemui ahli keluargamu (di rumah kamu)
maka berilah salam kepada mereka, nescaya akan dilimpahi keberkatan ke
atas kamu serta ahli rumah kamu”. (Riwayat Imam at-Tirmizi dari Anas
r.a.)
Memberi salam bermakna kita mendoakan keselamatan dan kesejahteraan
kepada orang yang kita ucapkan salam kepadanya. Apabila ibu-bapa
mengucapkan salam kepada anak-anak mereka (tatkala baru sampai di rumah
atau tatkala ingin keluar dari rumah atau ingin berpisah dengan mereka)
maka ia telah mendoakan keselamatan dan kesejahteraan untuk mereka.
Apabila mereka menjawabnya, maka mereka mendoakan pula keselamatan dan
kesejahteraan untuk bapa atau ibu mereka. Fenomena saling doa-mendoakan
ini pastinya akan mewujudkan suasana harmoni dan kasih-sayang di dalam
keluarga.
Rasulullah s.a.w. pernah bertanya para sahabat baginda; “Mahukah aku
tunjukkan kepada kamu suatu amalan yang jika kamu lakukan nescaya kamu
akan saling berkasih-sayang?”. Jawab mereka; “Ya”. Lalu baginda
bersabda;
“Hidupkan budaya memberi salam antara sesama kamu”. (Riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.)
d) Praktikkan adab-adab Islam di dalam rumah.
Antara adab-adab Islam yang perlu dipraktikkan oleh ibu-bapa serta ahli
keluarga di rumah ialah adab ketika makan, adab ketika masuk dan keluar
tandas, adab berpakaian, adab anak-anak ketika hendak masuk ke bilik
ibu-bapa (terutamanya apabila anak-anak telah mumayyiz), adab keluar dan
masuk rumah, adab tidur dan bangun dari tidur dan sebagainya. Adab-adab
ini amat penting kerana ia melibatkan amalan dan rutin harian yang
boleh memberi contoh berkesan kepada anak-anak dalam meningkatkan roh
keislaman mereka.
5. Dekatkan anak-anak kita dengan masjid, mushalla atau surau
Dalam hal ini, terdapat hadis Rasulullah s.a.w. menyebutkan;
“Jika kamu lihat seorang lelaki selalu berulang-alik ke masjid, maka
saksikanlah untuknya dengan iman (yakni akuilah bahawa ia sememangnya
seorang yang benar beriman)”. (Riwayat Imam Ahmad, at-Tirmizi dan Ibnu
Majah dari Abi Sa’id r.a.)
Masjid adalah rumah Allah. Orang yang hatinya terikat dengan masjid
menunjukkan bahawa jiwanya dekat dengan Allah. Alangkah bertuahnya kita
jika anak-anak kita memiliki hati dan jiwa sedemikian. Oleh itu,
perlulah kita berusaha bersungguh-sungguh mendekatkan anak-anak kita
dengan masjid, atau sekurang-kurangnya surau atau mushalla. Dalam satu
hadis, Rasulullah s.a.w. menceritakan tujuh orang yang akan mendapat
perlindungan Allah di akhirat, antara mereka ialah ‘seorang pemuda yang
membesar dalam ibadah kepada Allah dan seorang lelaki yang hatinya
terikat dengan masjid’. (Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim dari Abu
hurairah r.a.)
6. Tanamkan semangat jihad dan perjuangan Islam ke dalam jiwa anak-anak kita
Semangat jihad yang kita maksudkan ialah semangat cintakan agama dan
kesedaran untuk berkorban demi agama. Ramai di kalangan kita menganggap
anak-anak belum tiba masanya untuk didedahkan dengan semangat jihad
kerana mereka masih kecil. Anggapan ini ternyata salah. Sebenarnya dari
kecillah kita perlu tanamkan semangat jihad ke dalam diri anak-anak kita
supaya mereka akan terbiasa dengan semangat ini sejak awal mereka
mengenali dunia dan kehidupan lagi. Lebih-lebih lagi apa yang disemai
ketika kecil akan melekat kukuh dalam jiwa manusia sebagaimana kata
hikmah;
‘Pengajaran semasa kecil umpama memahat di atas batu”.
Untuk menyemai semangat jihad dan perjuangan Islam ini, antara usaha
yang perlu kita lakukan ialah dengan menceritakan kepada anak-anak kita
–dari masa ke semasa- sejarah/sirah perjuangan Nabi kita Muhammad s.a.w.
dan juga tokoh-tokoh pejuang Islam terdahulu terdiri dari para Nabi dan
Rasul, para sahabat, para alim-ulama’, para Syuhada’ dan sebagainya.
Amat menyedihkan kita apabila melihat anak-anak umat Islam hari ini di
mana mereka lebih mengenali artis-artis dan pelakon-pelakon dari
mengenali para Nabi dan Rasul, tokoh-tokoh Islam, ulama’-ulama’ dan para
pejuang Islam. Keadaan ini memerlukan usaha bersungguh-sungguh dari
kita sebagai ibu-bapa untuk mengubahnya.
7. Tanamkan kepada anak-anak kita sikap cintakan ilmu dan majlis ilmu
Antara perkara yang perlu kita tanamkan sungguh-sungguh ke dalam jiwa
anak-anak kita dalam usaha kita mendidik mereka menjadi anak-anak yang
soleh ialah sikap cintakan ilmu dan sukakan majlis-majlis ilmu. Dengan
adanya semangat cintakan ilmu dan majlis ilmu akan timbullah keinginan
dalam diri anak-anak kita untuk menuntut ilmu agama secara berterusan
hingga ke akhir hayat mereka tanpa had umur atau batasan waktu.
Jika kita perhatikan majlis-majlis ilmu hari ini, boleh dikatakan
keseluruhan yang hadir ialah golongan dewasa dan juga orang-orang tua.
Di mana anak-anak atau kanak-kanak? Kenapa mereka tidak dibawa bersama
oleh ibu-bapa mereka untuk sama-sama menuntut ilmu? Demi masa depan
anak-anak kita, marilah kita ubah keadaan ini. Marilah kita bawa bersama
anak-anak untuk sama-sama berada di dalam majlis ilmu yang diibaratkan
oleh Rasulullah s.a.w. sebagai taman syurga. Baginda bersabda;
“Apabila kamu berjalan melalui taman syurga, maka singgahlah di situ”.
Lalu sahabat bertanya; “Apa itu taman syurga, ya Rasulullah?”. Jawab
Rasulullah; “Iaitulah majlis-majlis ilmu””. (Riwayat Imam at-Thabrani
dari Ibnu ‘Abbas r.a.)
8. Perhatikan dengan siapa anak-anak kita berkawan
Kita tidak boleh mengongkong anak-anak kita dari berkawan. Namun apa
yang kita perlu lakukan ialah memastikan anak-anak kita memilih
kawan-kawan atau teman-teman yang baik supaya ia tidak terjebak ke dalam
kejahatan dan maksiat kerana pengaruh kawan. Hal ini merupakan pesanan
Rasulullah s.a.w. di mana baginda bersabda;
“Seseorang itu berada di atas agama temannya. Oleh itu, hendaklah setiap
dari kamu memerhatikan dengan siapa ia berteman”. (Riwayat Imam Abu
Daud dari Abu Hurairah r.a.)
Di dalam hadis di atas, Rasulullah s.a.w. berpesan kepada kita agar
pandai memilih kawan/teman kerana kawan boleh mempengaruhi pengamalan
agama kita. Maka sebagai ibu atau bapa, pesanan yang sama perlu kita
sampaikan kepada anak-anak kita kerana mereka adalah tanggungjawab kita.
9. Mohonlah sentiasa dari Allah agar dikurniakan anak yang soleh
Doa adalah senjata kita orang-orang beriman. Dengan doa kita boleh
memohon apa sahaja hajat kita dari Allah. Malah Allah amat suka
hamba-hambanya yang banyak berdoa dan bermohon dariNya. Salah satu
perkara yang perlu selalu kita pohonkan dari Allah ialah anak-anak yang
soleh. Seboleh-bolehnya setiap kali kita berdoa, kita tidak lupa berdoa
agar kita sekelian dianugerahkan Allah anak-anak yang soleh. Antara
bentuk doa memohon anak soleh ialah yang termaktub di dalam al-Quran
iaitu;
“Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku anak yang tergolong dari orang-orang soleh”. (as-Shaffat: 100)
Atau doa;
“Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kepada kami dari isteri-isteri dan
zuriat keturunan kami (anak-anak soleh yang menjadi) penyejuk mata-mata
kami (apabila melihatnya) dan jadikanlah kami ikutan kepada orang-orang
bertakwa”. (al-Furqan: 74)
Selain itu, kita juga perlu berdoa agar Allah memberi ilmu dan kefahaman agama kepada anak-anak kita. Antara doanya ialah;
“Ya Allah, wahai Tuhan kami! Berilah kefahaman kepadanya dalam agama dan ajarkanlah kepadanya memahami al-Quran”.
Doa ini adalah doa yang pernah diucapkan oleh Rasulullah s.a.w. untuk
Ibnu ‘Abbas r.a.. Berkat doa baginda ini, Ibnu ‘Abbas telah muncul di
kalangan sahabat sebagai seorang pentafsir al-Quran yang paling unggul
sehingga Abdullah ibnu Mas’ud menyatakan; “Sebaik-baik pentafsir
al-Quran ialah Ibnu ‘Abbas”.
10. Sentiasalah memberi pesanan dan nasihat kepada anak-anak kita
Ibu-bapa hendaklah selalu memberi pesanan dan nasihat kepada anak-anak
supaya sentiasa mentaati Allah dan menjaga perintah agama. Pesanan,
teguran dan kata-kata nasihat dari ibu-bapa merupakan mutiara-mutiara
berharga untuk anak-anak kerana ibu-bapa adalah orang yang paling hampir
dengan anak-anak. Peranan ibu-bapa sebagai pemberi nasihat dan pesanan
tidak terhenti setakat anak-anak masih kecil, tetapi berterusan hingga
bila-bila sekalipun mereka telah dewasa.
Pesanan Nabi Ibrahim untuk anak-anaknya dapat kita dilihat dalam surah al-Baqarah, ayat 132;
“Ibrahim telah berpesan kepada anak-anaknya dengan agama itu (yakni
Islam) dan (begitu juga) Yaakob (di mana mereka berkata kepada anak-anak
mereka): ‘Wahai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih agama
(Islam) untuk kamu, maka janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan
muslim”. (al-Baqarah: 132).
Pesanan Rasulullah kepada Ibnu ‘Abbas:
Diriwayatkan dari Ibnu ‘Abbas r.a. yang menceritakan; (Suatu hari) aku
berada di belakang Nabi s.a.w.. Lalu baginda bersabda kepadaku; “Hai
anak! Aku ingin mengajar kamu beberapa perkataan (iaitu); ‘Peliharalah
Allah nescaya Ia akan pelihara kamu. Peliharalah Allah, nescaya kamu
akan mendapatinya di hadapan kamu. Apabila kamu meminta, mintalah kepada
Allah dan apabila kamu memohon pertolongan, pohonlah pertolongan dari
Allah. Ketahuilah bahawa sesungguhnya jika sekelian umat manusia
berhimpun untuk memberi manfaat kepada kamu dengan sesuatu, tidaklah
mereka dapat memberi manfaat kepada kamu melainkan dengan suatu yang
telah ditulis oleh Allah untuk kamu. Dan jika mereka semua berhimpun
untuk memberi mudarat kepada kamu dengan sesuatu, tidaklah mereka dapat
memudaratkan kamu melainkan dengan sesuatu yang telah ditulis oleh Allah
akan menimpa kamu. Telah diangkat pena dan telah kering
lembaran-lembaran’”. (Riwayat Imam Tirmizi)
sumber: http://iislamku.blogspot.com/2013/06/10-tips-untuk-didik-anak-menjadi-soleh.html
0 comments:
Post a Comment